Hubungan luar Jerman

Jerman telah memainkan peranan utama di dalam Kesatuan Eropah sejak penubuhannya dan masih mengekalkan persahabatan erat dengan Perancis sejak tamatnya Perang Dunia II. Kedua-dua negara sekutu ini amat rapat terutamanya sekitar lewat dekad 1980-an dan awal 1990-an di bawah pimpinan Canselor Helmut Kohl (CDU) dan Presiden François Mitterrand (Sosialis). Jerman juga merupakan negara Eropah yang mendukung kuat pembentukan cabang-cabang politik, pertahanan dan keselamatan Eropah yang bersatu dan berkemampuan.[31]

Sejak penubuhannya pada 23 Mei 1949, Republik Persekutuan Jerman tidak menampilkan imej yang sangat menonjol di dalam hubungan antarabangsa kerana sejarahnya yang terkini dan pendudukan wilayahnya oleh kuasa-kuasa asing. Ketika Perang Dingin, Jerman yang dibahagikan oleh Tirai Besi, menjadi simbol ketegangan Barat dan Timur dan juga medan pertempuran politik dan fahaman di Eropah. Namun, Ostpolitik yang dibawakan Canselor Willy Brandt merupakan faktor utama yang membawa kepada peredaan ketegangan (Bahasa Perancis: détente) sekitar 1970-an.[perlu rujukan] Pada tahun 1999, Canselor Gerhard Schröder memperkenalkan prinsip baru dasar luar kerajaannya dengan penglibatan Jerman dalam Perang NATO ke atas Yugoslavia dan dengan menghantar Tentera Persekutuan Jerman di dalam pertempuran buat pertama kalinya selepas Perang Dunia II.[perlu rujukan]

Canselor Angela Merkel menganjurkan sidang puncak G8 di Heiligendamm.

Jerman dan Amerika Syarikat merupakan dua negara sekutu yang rapat.[32] Melalui Rancangan Marshall (1948), AS menyokong usaha-usaha membangunkan semula Jerman selepas Perang Dunia II. Namun begitu, bangkangan keras Schröder terhadap Perang Iraq dilihat sebagai penyejukan hubungan Amerika-Jerman.[perlu rujukan] Kedua-dua negara ini juga saling bergantung dari segi ekonomi kerana 8.8% eksport Jerman adalah ke AS manakala 6.6% import berasal daripada AS.[33] Di pihak AS pula, 8.8% eksportnya ialah ke Jerman, manakala 9.8% importnya datang dari negara ini.[33] Tanda-tanda lain yang membuktikan hubungan erat ialah kedudukan berterusan rakyat Amerika berketurunan Jerman sebagai kumpulan etnik terbesar di AS[34] dan taraf Pangkalan Udara Rammstein (dekat Kaiserslautern) sebagai komuniti tentera AS paling besar di luar AS.[35]

Bantuan pembangunan

Dasar pembangunan Republik Persekutuan Jerman ialah satu bahagian yang bebas daripada dasar luar Jerman. Ia digubal oleh Kementerian Persekutuan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (BMZ) dan dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan. Kerajaan Jerman memandang dasar pembangunan sebagai tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa.[36]

Angka-angka rasmi bantuan pembangunan dan bantuan kemanusiaan Jerman bagi tahun 2007 mencecah €8.96 bilion ($12.26 bilion), meningkat sebanyak 5.9% berbanding tahun sebelumnya. Sekaligus, Jerman menjadi penyumbang bantuan kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).[5]Jerman membelanjakan sekitar 0.37% daripada KDNKnya bagi tujuan pembangunan. Peratusan ini di bawah paras yang disasarkan kerajaan iaitu sebanyak 0.51% daripada KDNK menjelang tahun 2010. Sasaran antarabangsa sekitar 0.7% daripada KDNK juga di luar jangkauan.[perlu rujukan]

Ketenteraan

Kapal Mecklenburg-Vorpommern menyertai operasi UNIFIL II di persisiran pantai Lubnan.

Tentera Jerman, Bundeswehr, ialah sebuah pasukan pertahanan dengan cawangan-cawangan tentera darat (Heer), laut (Marine), udara (Luftwaffe), perkhidmatan perubatan (Zentraler Sanitätsdienst) dan perkhidmatan sokongan (Streitkräftebasis). Khidmat ketenteraan diwajibkan ke atas semua warganegara lelaki berumur 18 tahun dan dikerah bertugas selama sembilan bulan. Pembantah ikut nurani pula diberi pilihan menyertai Zivildienst (terjemahan kasar: perkhidmatan orang awam), atau komitmen enam tahun dalam perkhidmatan sukarela kecemasan seperti bomba, Palang Merah atau Technisches Hilfswerk (program bantuan teknikal). Pada tahun 2003, Jerman membelanjakan 1.3% daripada KDNKnya untuk tujuan ketenteraan.[6] Di masa aman, Bundeswehr diarahkan oleh Menteri Pertahanan, ketika ini ialah Franz Josef Jung (CDU). Jika Jerman pergi berperang, yang hanya dibolehkan oleh perlembagaan untuk tujuan pertahanan sahaja, canselor akan menjadi pemerintah angkatan tentera.[37]

Sehingga September 2008, sejumlah 6,000 anggota tentera telah dihantar bertugas di dalam pelbagai misi antarabangsa.[38] Pecahannya pula ialah 3,270 anggota di Afghanistan (kontijen ketiga terbesar selepas AS seabanyak 14,000 orang dan UK sebanyak 5,200 orang),[perlu rujukan] 2,220 anggota di Kosovo, 230 orang di Lubnan selain 120 orang di Bosnia-Herzegovina.Jerman berkongsi senjata nuklear dengan NATO dalam bentuk senjata nuklear AS yang disimpan di pangkalan udara Büchel.[39]

Rujukan

WikiPedia: Jerman http://www.britannica.com/EBchecked/topic/73127/Bo... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.cometogermany.com/ http://www.csmonitor.com/2006/1110/p25s02-woeu.htm... http://www.dummies.com/WileyCDA/DummiesArticle/id-... http://www.economist.com/business/displaystory.cfm... http://www.epemag.com/zuse/ http://users.erols.com/mwhite28/warstat0.htm#30YrW http://www.ft.com/cms/s/2/504285c4-68b6-11da-bd30-...